Tuesday, May 26, 2009

SATU PEMERHATIAN TERHADAP GAYA PEMBELAJARAN MURID SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH DI LEMBAH KELANG.

SATU PEMERHATIAN TERHADAP GAYA PEMBELAJARAN MURID SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH DI LEMBAH KELANG.[1]

Oleh:
Dr. Zanariah bt. Noor
Dr. Bhasah bin Hj. Abu Bakar
Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tanjung Malim.


ABSTRAK:

Kajian ini cuba melihat gaya pembelajaran kaedah Kolb murid sekolah rendah dan menengah di kawasan Lembah Kelang. Gaya pembelajaran memainkan peranan penting tentang cara seseorang murid itu cuba menguasai apa yang dipelajari di sekolah. Hasil kajian ini nanti diharapkan dapat memberi sedikit input tentang gaya pembelajaran murid supaya para guru dapat bersedia dengan keadaan yang lebih yakin apabila berada di bilik darjah. Ini akan dapat membantu guru berkenaan menyiapkan diri apabila menghadapi murid dan dapat membuat satu pendekatan yang lebih berkesan dalam pengajaran mereka agar kaedah penyampaian itu dapat disesuaikan dengan gaya pembelajaran murid. Ini akan dapat meningkatkan lagi pemahaman murid dan meningkatkan P&P ke aras yang lebih cemerlang terhadap kefahaman guru ke atas pelajar mereka di bilik darjah selaras dengan kehendak pengajaran bestari – mengajar mengikut gaya pembelajaran murid. Kajian ini juga cuba melihat pertalian atau perbezaan dalam gaya pembelajaran murid dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Di samping itu kajian ini akan mempastikan sama ada terdapat sebarang kecenderungan dalam pembelajaran apabila pelajar itu bergerak dari satu peringkat ke satu periingkat dalam perkembangan kognitifnya secara terancang. Akhir sekali kajian ini juga cuba melihat perbezaan gaya pembelajaran bagi murid berdasarkan jantina, lokasi dan latar belakang keluarga mereka.


Pendahuluan

Apabila guru mula menjejakkan kaki di dalam bilik darjah, dia akan berhadapan dengan berbagai telatah pelajar. Ada pelajar yang kelihatan ceria, peramah, suka berinteraksi dan ada juga pelajar yang pendiam dan menjadi pemerhati sahaja. Ada pelajar yang kelihatan cergas dan ada pelajar yang malas dan suka tidur dalam bilik darjah. Terdapat juga pelajar yang suka membuat bising dan mengganggu pengajaran guru. Senario ini terjadi disebabkan terdapatnya perbezaan individu dalam berbagai aspek. Untuk menjadi guru yang berkesan, individu perlu menyedari perkara ini dan memikirkan pendekatan pengajaran dan aktiviti yang sesuai untuk mereka. Setiap individu pelajar mempunyai ciri-ciri yang berbeza, sama ada dari segi fizikal, afektif dan kognitif dan ini menghasilkan perbezaan dalam proses pembelajaran atau ringkasnya cara belajar. Cara belajar ini, dari segi istilahnya disebut sebagai gaya pembelajaran.

Gaya Kognitif dan Gaya Belajar

Gaya kognitif bermaksud cara individu mempersepsi maklumat sementara gaya belajar pula merujuk kepada persekitaran pembelajaran yang digemari oleh pelajar. Witkin (1940) telah mengenalpasti dua gaya kognitif iaitu gaya belajar bergantung latar (Field Dependence) dan bebas latar (Field Independence). Individu yang bergantung latar suka mempersepsi sesuatu secara global sementara dengan gaya kognitif bebas latar suka mempersepsi sesuatu secara analitikal. Ada pula individu yang gaya kognitifnya reflektif dan impulsif. Mengikut Kagan (1965) gaya kognitif impulsive ialah kanak-kanak yang memilih berbagai-bagai kemungkinan penyelesaian masalah dengan memberi tindak balas yang cepat dan kurang memberi pertimbangan tentang ketepatan atau betul salahnya tindakan tersebut. Oleh kerana itu kanak-kanak dengan gaya impulsive menyudahkan tugasan dengan cepat tetapi membuat banyak kesilapan. Kanak-kanak reflektif yang mempunyai darjah kecerdasan yang sama dengan rakan sebayanya yang impulsive tetapi dia mengambil masa yang lama sebelum menjawap soalan guru atau menyudahkan tugasan sebab dia membuat berbagai pertimbangan dalam menjawab atau menyelesaikan masalah dan berharap jawapannya itulah yang paling tepat atau sekiranya menyerahkan tugas, dia berharap tugas itu dapat disiapkan dengan sempurna.

Gaya pembelajaran pula merupakan tingkah laku multi-dimensi yang melibatkan banyak pembolehubah sedangkan gaya kognitif merupakan tingkah laku ekadimensi (bipolar) yang melibatkan pola positif atau negatif dalam keadaan tertentu (Witkin, 1977). Malahan pendekatan pembelajaran dirujuk kepada proses pembelajaran yang melibatkan strategi pembelajaran yang berhubungkait dengan tugas (task) pembelajaran tertentu. Kebanyakan penyelidikan tentang gaya pembelajaran datang daripada usaha Shuell (1981); Kolb (1976); Gregorc (1979); Fischer & Fischer (1979); Keefe (1982); Garger & Guild (1984); Child (1986); Riding & Sadler-Smith (1992); Jonassen & Grabowski (1994) dan Dunn & Dunn (1978, 1992, 1993). Secara amnya, mereka merujuk gaya pembelajaran kepada persepsi dan cara pemprosesan maklumat yang konsisten seseorang pelajar semasa ia mempelajari sesuatu konsep atau prinsip baru .

Dunn dan Dunn (1992) mendefinisikan gaya pembelajaran sebagai kecenderungan individu menumpukan perhatian, memproses dan mengekalkan maklumat-maklumat yang diterima. Terdapat lima faktor utama yang dikenalpasti mempengaruhi kecenderungan iaitu persekitaran, fisiologi, sosiologi, fizikal dan psikologi. Menurut Reiff (1992), setiap individu secara semulajadi mempunyai kecenderungan terhadap gaya-gaya tertentu dan kecenderungan ini banyak dipengaruhi oleh budaya persekitaran serta pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh seseorang. Masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar bukan semata-mata disebabkan kesukaran mata pelajaran tetapi kerapkali disebabkan oleh jenis proses kognitif yang diperlukan bagi memahami perkara yang diajar. (Keefe, 1988).

Banyak kajian menunjukkan bahawa pendekatan pengajaran yang bersesuaian dengan gaya pembelajaran boleh mendorong peningkatan motivasi diri pelajar, seterusnya merangsang prestasi serta pencapaian dalam pelajaran. (Brown, 1994). Kajian perbandingan pencapaian markah pelajar-pelajar yang didedahkan dengan pengajaran yang akur dengan gaya pembelajaran dengan pelajar-pelajar yang tidak diajar pengajaran yang bersesuaian dengan gaya pembelajaran, menunjukkan golongan pertama mendapat markah yang lebih tinggi berbanding golongan kedua (Dunn dan Dunn, 1978). Mengenalpasti gaya pembelajaran pelajar akan dapat membantu pengajar memahami kepelbagaian gaya menerima dan memproses maklumat yang berbeza di kalangan pelajar. Oleh sebab itu, para pengajar perlu merancang strategi dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan gaya pembelajaran yang berbeza-beza di kalangan pelajar (Joyce dan Weil, 1980). Kolb (1984) menyatakan bahawa dalam proses pembelajaran, seseorang individu akan melalui empat peringkat kitaran pembelajaran yang saling berkaitan di antara satu sama lain dan saling bantu membantu bagi mencapai objektif pembelajaran. Kitaran pembelajaran menurut teori Kolb ini bermula daripada peringkat pengalaman konkrit (PK) kepada pemerhatian reflektif (PR) kepada perkonsepsian abstrak (KA) kepada percubaan aktif (PA).
[1] Telah dibentangkan di MERA Conference 2003 Decades of Educational Research and Development: Taking Stock and Moving Forward.. Pada 11-13 September 2003 .Bertempat di Residence Hotel UNITEN. (In CD form: Page 154-161)


Secara teorinya, pembelajaran yang sempurna memerlukan pelajar melalui keempat-empat peringkat dimensi pembelajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam Rajah 1. Namun begitu, lazimnya setiap pelajar akan menunjukkan kecenderungan dalam suatu peringkat dimensi melebihi peringkat yang lain. Dimensi gaya pembelajaran pelajar akan dapat dikesan melalui skor yang diperolehi hasil gabungan dua peringkat pembelajaran;

(1) Pengalaman Konkrit dan pemerhatian Reflektif (PK – PR) menghasilkan gaya belajar diverger.
(2) Perkonsepsian Abstrak dan Pemerhatian Reflektif (KA – PR) menghasilkan gaya belajar asimilator.
(3) Perkonsepan Abstrak dan Percubaan Aktif (KA – PA) menghasilkan gaya belajar konverger.
(4) Pengalaman Konkrit dan Percubaan Aktif (PK – PA) menghasilkan gaya belajar akomodator.


RAJAH 2 : DIMENSI GAYA PEMBELAJARAN KOLB

Jadual 1: Gaya Belajar Kolb dan Cirinya. (Ramlah et.al, 2002)

Keefe (1991) melihat gaya belajar sebagai satu konstruk yang merentasi ciri-ciri pelajar dan strategi pengajaran. Oleh yang demikian, sebagai ciri-ciri pelajar, gaya belajar merupakan indikator seseorang individu itu belajar dan suka akan cara belajar berkenaan. Manakala sebagai strategi pengajaran gaya belajar amat berkait rapat dengan aktiviti kognitif individu, konteks dan isi pembelajaran itu sendiri. Tuckman (1992) melalui penyelidikan yang memadankan gaya pembelajaran telah mendapati bahawa terdapat korelasi yang signifikan antara gaya kognitif, cara belajar, cara berfikir dan kekuatan daya ingatan dengan kaedah penyampaian pengajaran serta struktur bahan pengajaran yang digemari oleh pelajar. Begitu juga kajian-kajian yang telah dijalankan oleh Dunn & Dunn, pelajar-pelajar ijazah lanjutan, para professor dan penyelidik lain di Amerika Syarikat, dapatan mereka menunjukkan bahawa pelajar-pelajar mempunyai pencapaian akademik yang lebih cemerlang, lebih berdisiplin dan mempunyai sikap yang lebih positif terhadap pembelajaran apabila pengajaran disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar. Begitu juga kajian oleh Wheeler (1980) telah menunjukkan pencapaian pelajar-pelajar yang kurang berkeupayaan (disabled students) meningkat apabila mereka diajar dengan gaya pembelajaran yang mereka gemari.

Di Malaysia,terdapat beberapa kajian tentang gaya belajar. Antaranya ialah kajian yang dijalankan oleh Tumerah (1988) bertajuk ‘Faktor-faktor yang mempengaruhi gaya pembelajaran dan kesannya terhadap pencapaian akademik’. Beliau mengkaji hubungan antara faktor demografi dan pencapaian akademik dengan gaya pembelajaran di kalangan pelajar-pelajar yang mengikuti lima kursus Diploma Perguruan Malaysia di sebuah Maktab perguruan di Sarawak. Dapatan menunjukkan bahawa terdapat berbezaan yang signifikan di antara gaya belajar pelajar lelaki dan pelajar perempuan dan juga dari segi etnik. Kajian yang dijalankan oleh Aishah (1999) berhubung dengan gaya belajar dan pencapaian akademik pelajar-pelajar tingkatan empat aliran teknik dengan menggunakan inventori gaya pembelajaran Dunn, Dunn dan Price (1978) menunjukkan bahawa bahawa secara keseluruhannya gaya pembelajaran adalah dipengaruhi oleh empat faktor rangsangan yang terdiri daripada persekitaran, emosi, sosiologikal dan fizikal. Sementara itu kajian Lim (1999) yang bertajuk Perhubungan antara Personaliti dengan Gaya Pembelajaran di Kalangan Pelajar Menengah Atas’ menunjukkan bahawa terdapat perhubungan yang signifikan di antara personaliti dengan gaya pembelajaran di kalangan pelajar-pelajar menengah atas. Selain itu terdapat perbezaan personaliti yang signifikan di antara pelajar-pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran konverger dan asimilatar, konverger dan akomodator, diverger dan asimilator, asimilator dan akomodator.

Objektif Kajian

Kajian ini merupakan satu kajian awal untuk meninjau tentang gaya pembelajaran murid/pelajar di sekolah rendah, sekolah menengah rendah, sekolah menengah dan menengah atas. Hasil kajian ini diharapkan akan dapat memberi sedikit iniput kepada pengetahuan dan pengalaman guru tentang gaya pembelajaran murid disetiap peringkat pembelajaran. Makumat ini diharapkan akan dapat membantu guru untuk menangkap minat murid dan menangani masalah pembelajaran pelajar semasa di bilik darjah. Ini akan meningkatkan lagi kehusyukan pelajar dalam menimba ilmu dari guru mereka yang peka terhadap gaya pembelajaran. Lantaran itu kefahaman guru tentang gaya pembelajaran murid/pelajar diharapkan dapat disepadukan dengan kaedah atau pendekatan pengajaran seperti kaedah inkuiri, kontekstual, penyelesaian masalah atau konstruktivisme dan sebagainya yang semakin mendapat perhatian dari guru-guru kita diMalaysia masa kini. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa objektif kajian ini adalah untuk menentukan gaya pembelajaran pelajar dari sekolah rendah ke sekolah menengah atas berdasarkan kajian tinjau ringkas di kawasan Lembah Klang.

Kaedah dan Rekabentuk Kajian

Kajian ini merupakan satu kajian tinjauan yang dibuat di kawasan Lembah Kelang, Kuala Lumpur secara kaedah kuantitatif menggunakan borang soal-selidik sebagai instrumen kajian untuk mendapatkan maklumat. Persampelan purposif telah digunakan yang melibatkan pemilihan secara rawak sebanyak 27 buah sekolah rendah dan menengah dengan seramai 272 orang pelajar yang terdiri dari 126 (46.3%) orang murid dari sekolah rendah, 63 (23.2%) orang pelajar dari sekolah menengah rendah, 49 (18%) dari dari sekolah menengah dan seramai 34 (12.5%) dari Sekolah Menengah Atas atau program Matrikulasi. Sampel kajian juga terdiri dari 162 orang perempuan dan 110 lelaki. Kesemua partisipan adalah dari sekolah kebangsaan 114 (41.9%) orang, sekolah rendah jenis kebangsaan 17 (6.3%) dan 141 (51.8%) dari Sekolah Menengan dan sekolah menengah atas atau Matrikulasi. Data yang diperolehi telah dianalisis dengan menggunakan Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 11.0.

Dapatan Kajian

Daripada soal selidik yang diedarkan didapati pada umumnya pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah terbahagi kepada; (a) pengalaman konkrit terdiri dari akomodator (29.8%) dan diverger (33.8%) manakala mereka yang (b) berkonsepsikan Abstrak terdiri dari konverger (18.0%) dan asimilator (18.4%). Gambaran ini merupakan satu gambaran yang menyeluruh tentang gaya pembelajaran sampel yang dikaji merentasi beberapa aspek demografi. Jadual 2 menunjukkan pola gaya pembelajaran pelajar lelaki dan perempuan. Pada umumnya kita lihat peratusan yang tinggi pelajar mempunyai gaya belajar diverger bagi pelajar lelaki dan perempuan. Mereka gemar membuat persepsi terhadap maklumat yang konkrit, jelas serta nyata dan memprosesnya dengan cara membuat permerhatian yang reflektif bagi melahirkan idea baru tanpa sebarang praktikal. Ujian Khi kuasa dua juga mendapati tidak terdapat sebarang pergantungan antara gaya pembelajaran dengan jantina dimana c2 (df=3, p = 0.779) = 1.091.

Khi kuasa dua juga telah digunakan untuk menentukan sama ada terdapat pergantungan atau hubungan antara gaya pembelajaran dengan tahap persekolahan pelajar. Jadual 3 cuba membuat analisis tentang pergantungan berkenaan. Nilai Khi kuasa dua adalah tidak signifikan pada aras α = 0.05. Ini menunjukkan tidak terdapat pergantungan antara tahap sekolah dengan gaya pembelajaran pelajar dimana c2 (df=3, p= 0.332) = 3.418
Jadual 4 menunjukkan perhubungan antara gaya pembelajaran dengan ras. Secara umum, ujian Khi kusas dua menunjukkan keputusan yang tidak signifikan yang sekali gus membenarkan membuat rumusan bahawa tidak terdapat pergantungan antara gaya pembelajaran dengan ras dimana c2 (df=3, p=0.283) = 3.809. Murid dan pelajar Melayu (36.1%) cenderung kepada gaya belajar diverger manakala murid dan pelajajar Bukan Melayu (38.6%) lebih cenderung belajar gaya akomodator



Jadual 5 menunjukkan hampir 40% pelajar yang tinggal di kawasan dalam bandar mempunyai gaya pembelajaran secara diverger dan begitu juga dengan pelajar yang tinggal di kawasan pinggiran bandar (38.3%). Pelajar-pelajar yang tinggal jauh dari bandar seperti di kawasan perkampungan tetapi bersekolah di bandar mempunyai gaya belajar akomodator (36.3%). Namun demikian apabila dibuat ujian Khi kuasa dua, didapati lokaliti pelajar tidak mempunyai hubungan yang signikan dengan gaya pembelajaran mereka dimana c2 (df = 6 p = 0.248) = 7.872.

Jadual 6 menunjukkan analisis yang dibuat tentang gaya pembelajaran berdasarkan peringkat pembelajaran pelajar dari sekolah rendah ke sekolah menengah atas. Di sini dapat dilihat, peringkat sekolah rendah (35.7%) dan sekolah menengah rendah (39.7%) gaya pembelajaran pelajar adalah dari gaya diverger. Apabila memasuki ke peringkat sekolah menengah gaya pembelajaran pelajar bertukar ke gaya akomodator (36.6%) dan seterusnya bertukar lagi ke gaya konverger (38.2%) apabila berada di Sekolah Menengah Atas (Tingkatan 6 atau Matrikulasi). Namun demikian, ujian khi kuasa dua yang dilaksianakan tidak menunjukkan kebergantungan antara gaya belajar dengan peringkat pembelajaran pelajar di mana c2 (df = 9 p = 0.069 ) = 15.914.

Jadual 7 cuba membuat analisis tentang perkaitan antara gaya pembelajaran pelajar dengan latar belakang perkhidmatan keluarga mereka. Pelajar yang keluarga mereka berkhidmat dengan kerajaan lebih menunjukkan gaya pembelajaran secara diverger atau akomodator. Bagi keluarga yang bekerja sendiri atau berkhidmat dengan pihak swasta, lebih menunjukkan gaya pembelajaran cara diverger. Jadual ini juga menunjukkan tidak terdapat pergantungan yang signifikan di antara gaya pembelajaran dengan perkhidmatan yang diberikan oleh keluaraga pelajar, ini dijelaskan dari hasil khi kuasa dua menunjukkan c2 (df = 3, p = 0.909) = 0.546.

Perbincangan dan Rumusan

Pada asasnya didapati ramai pelajar mempunyai gaya belajar yang berpengalaman konkrit iaitu gaya pembelajaran secara akomodator dan diverger. Peratusan pelajar yang menggunakan gaya pembelajaran berteraskan sesuatu yang abstrak yang memerlukan analisis lebih mendalam atau memprosesnya dengan cara membuat percubaan dan latihan yang aktif peratusannya adalah terlalu kecil. Inilah sesuatu yang harus diberikan perhatian semasa pengajaran di bilek darjah dimana guru harus menekankan kaedah inkuiri atau penyelesaian masalah demi untuk mempertingkatkan lagi naluri dan sifat mencari/mencuba dan berfikir secara kritis dapat di pupuk dikalangan pelajar. Ini adalah selaras dengan hasrat pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan masyarakat yang boleh berfikir secara kreatif dan kritis.

Kajian ringkas ini telah menampakkan gaya pembelajaran murid/pelajar lelaki dan perempuan adalah sama. Kedua-dua kumpulan pelajar lelaki dan perempuan lebih menekankan kepada pembelajaran secara diverger (pelajar imaginatif) dimana mereka lebih berkecondongan membuat persepsi terhadap malumat yang konkrit, jelas dan nyata di samping memprosesnya pula secara membuat pemerhatian yang reflektif bagi melahirkan idea baru tanpa melaksanakan sebarang praktikal. Keadaan yang serupa dapat dilihat dalam tahap persekolahan dan perkhidmatan keluarga dimana penekanan adalah pada pembelajran secara diverger. Gaya pembelajaran antara pelajar Melayu dan Bukan Melayu terdapat sedikit perbezaan walaupun ianya tidak begitu signifikan secara statistik dari aspek pergantungan antara gaya pembelajaran dengan ras. Kedua-dua ras ini mengamalkan pengalaman konkrit, tetapi Bukan Melayu lebih kepada membuat percubaan aktif manakala pelajar Melayu lebih condong kepada membuat pemerhatian reflektif. Dari aspek lokaliti pula, pelajar yang tinggal di dalam bandar dan di pinggir bandar mempunyai gaya pembelajaran secara diverger kecuali mereka yang tinggal jauh dari kawasan bandar dan mempunyai gaya pembelajaran secara akomodator yang mana mereka ini lebih suka mencuba membuat sesuatu percubaan dan latihan yang aktif. Ciri ini agak berbeza dari rakan mereka yang tinggal di bandar dan pinggiran bandar yang lebih gemar membuat pemerhatian yang reflektif bagi melahirkan sesuatu idea yang baru.

Gaya pembelajaran mula jelas kelihatan berubah apabila peringkat pengajian mula meningkat dari satu aras ke satu aras secara menegak. Pada peringkat sekolah rendah dan menengah rendah, gaya pembelajaran adalah lebih tertumpu kepada gaya belajar diverger yang lebih menekankan kepada maklumat yang berbentuk konkrit. Apabila pelajar memasuki sekolah menengah gaya pembelajaran telah berubah kepada gaya belajar akomodator yang masih lagi konkrit tetapi telah mula memproses maklumat dengan cara membuat percubaan dan latihan aktif. Apabila masuk ke sekolah menengah atas atau matrikulasi, pelajar kini telah berpindah ke gaya belajar secara konverger dimana mereka telah mula berjinak dengan membuat persepsi maklumat yang abstrak di samping meneruskan pemprosesan maklumat dengan cara membuat percubaan dan latihan aktif seperti yang pernah dilakukan diperingkat sekolah menengah.

Hasil kajian yang ringkas ini telah dapat menunjukkan kepada kita bahawa gaya pembelajaran adalah merentasi bagi semua latar belakang secara horizontal. Namun demikian terdapat perkembangan yang perlu diberikan perhatian oleh guru-guru yang mengajar di peringakt sekolah rendah, menengah rendah, menengah dan menengah atas. Walaupun tidak terdapat perbezaan yang signifikan dari aspek pertalian atau pergantungan gaya pemebelajaran dengan faktor-faktor yang dikaji, ini tidak bermakna pergantungan antara gaya belajar dengan aspek yang dikaji tidak wujud. Kajian ini dibatasi oleh sampel purposif yang dapat diselidiki oleh pihak penyelidik tanpa menggunakan grant penyelidikan dari mana-mana pihak. Namun demikian ia telah dapat memberi satu gambaran tentang gaya pembelajaran pelajar sekolah rendah, menengah rendah, menengah dan menengah atas.
Sebagai rumusan untuk kajian ini, kami dari pihak penyelidik amat berharap agar kajian ini dapat diperluaskan dengan persampelan yang lebih representatif dengan kuasa persampelan yang lebih tinggi (Φ ± 90%) agar keputusan kajiannya nanti dapat dijadikan satu panduan yang boleh diterima pakai oleh semua guru apabila mereka memasuki di bilik darjah. Mereka akan lebih bersedia secara fizikal dan mental semasa berhadapan dengan murid atau pelajar yang begitu luas kerenahnya di era IT masakini. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment