Thursday, May 28, 2009

PENGGUNAAN ALAT TEKNOLOGI PENDIDIKAN

PENGGUNAAN ALAT TEKNOLOGI PENDIDIKAN
DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK
[1]

Oleh
Prof Madya Dr. Bhasah b. Hj. Abu Bakar
Pusat Asas Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
35900 Tanjung Malim.Perak.
Prof. Madya Dr. Abd. Rahman b. Daud
Fakulti Sains Kognitif, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
35900 Tanjung Malim.Perak.
Puan Fairuz bt. Abdul Haleem Shah
Fakulti Seni dan Musik, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
35900 Tanjung Malim.Perak.
Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tanjung Malim.

ABSTRAK

Dalam usaha kerajaan menuju ke arah wawasan 2020, setiap sekolah kini bersaing menggunakan komputer dan lain-lain peralatan moden dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Peralatan ATPM seperti television, perakam video, perakam kaset, overhead projector, slaid projektor, komputer, carta matematik, model, poster matematik dan peralatan matematik masih lagi boleh dikekalkan dan mungkin amat berguna dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah bagi mata pelajaran matematik. Metodologi kajian ini menggunakan kaedah persampelan purposive. Seramai 314 partisipan mengambil bahagian dalam kajian ini yang datangnya dari sekolah rendah dan sekolah menengah yang pernah mendaftar diri untuk mengikuti kursus di UPSI. Hasil kajian menunjukkan lebih dari 90% guru matematik masih lagi kekal menggunakan ATPM konvensional. Guru yang berumur antara 25 ke 35 begitu kerap menggunakan ATPM berbanding dengan mereka yang berumur kurang dari 25 tahun atau lebih dari 35 tahun. Lebih dari 60% guru matematik menyetujui bahawa ATPM yang terdapat di pusat sumber masih lagi kurang mencukupi untuk kegunaan mereka. Terdapat pergantungan yang positif antara jantina dengan ATPM seperti radio, perakam, komputer, carta matematik, model, poster matematik dan peralatan matematik. Kajian ini juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan secara statistik antara guru dari kawasan bandar dan luar bandar, sekolah rendah dan sekolah menengah dan pengalaman guru dalam sikap mereka terhadap penggunaan ATPM.

PENGENALAN

Kini dunia pendidikan kita sedang menuju ke arah penggunaan IT dalam sistem pengajaran dan pembelajarannya (P&P). Komputer merupakan sasaran utama dalam penggunaan alat teknologi pendidikan matematik (ATPM) di masa hadapan. Dalam usaha kerajaan menuju ke arah wawasan 2020, setiap sekolah akan bersaing menggunakan komputer dan lain-lain peralatan moden dalam P&P mereka. Namun kemudian, tidak semua sekolah akan bernasib baik dapat menggunakan komputer dan lain-lain peralatan IT untuk menepati ciri-ciri sekolah bestari yang menekankan kepada teknologi sebagai pengupaya/pemboleh. Perlu juga ditekankan di sini, tidak semua bentuk masalah kemahiran yang ingin disampaikan kepada murid dalam bilik darjah dapat diatasi dengan menggunakan komputer sepenuhnya. Peralatan ATPM seperti television, perakam radio, perakam kaset, overhead projector, slaid projektor, komputer, carta matematik, model, poster matematik dan peralatan bilik darjah. Justeru itu penguasaan penggunaan ATPM haruslah dipertingkatkan lagi. Pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk kemajuan teknologi pendidikan di negara ini melalui peruntukan daripada pinjaman Bank Dunia kepada sekolah-sekolah seperti peti telivision, perakam video dan OHP yang menelan belanja berjuta-juta ringgit. Konsep pusat sumber sekolah diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan dari segi penggunaan ATPM ini.

PERMASALAHAN KAJIAN

Walaupun negara kita sedang menuju ke arah penggunaan IT, tetapi masih lagi terdapat sekolah-sekolah yang belum sempurna kemudahan ITnya. Di samping sikap guru terhadap penggunaan ATPM, kursus atau latihan guru terhadap penggunaan ATPM dan pengurusan sekolah ke atas pengurusan bilik sumber juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan lagi penggunaan ATPM di sekolah. Ini telah dibuktikan melalui kajian Mattox (1974) yang menunjukkan bahawa sikap malas guru membawa kesan terhadap penggunaan ATPM kerana guru sering menghadapi tekanan daripada pihak atasan dan kurang mendapat sokongan mereka. Arnove (1976) pula menjelaskan bahawa guru-guru bersikap negatif terhadap ATP dalam pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran guru ada kaitannya dengan kursus/latihan seperti yang didapati oleh Blondin (1966) bahawa salah satu faktor penghalang penggunaan ATP ialah kekurangan kemahiran di kalangan guru-guru. Guru-guru yang banyak pengalaman mengajar dan mengikuti latihan lebih banyak menggunakan ATP daripada mereka yang hanya mempunyai pengalaman tanpa latihan (Sibalwa, 1983). Pentadbiran sekolah juga merupakan halangan terhadap penggunaan ATP di sekolah. Terdapat sekolah tidak menggunakan alatan bantuan mengajar dengan sepenuhnya walaupun ia telah disediakan kerana tidak ada galakan daripada guru besar atau pengetua. Masih lagi terdapat pengetua atau guru besar bersikap negatif terhadap penggunaan peralatan ini kerana khuatirkan peralatan ini akan rosak jika disalahgunakan dan memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk memperbaikinya dan sekolah tidak mampu membiayainya (Berita Harian, 1988).

TUJUAN KAJIAN.

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti takat penggunaa ATPM di sekolah-sekolah. Kajian yang terdiri dari berbagai aliran seperti Sekolah Kebangsaan (SK), Sek Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Menengah (SM). Di samping itu kajian ini cuba mencari jawapan kepada beberapa persoalan yang masih kabur tentang penggunaan ATPM di sekolah antaranya termasuklah :

i. menentukan tahap penggunaan ATPM berdasarkan aliran sekolah.
ii. mengenalpasti penggunaan ATPM dikalangan guru wanita dan lelaki.
iii. menentukan takat kecukupan ATPM di pusat sumber.
iv. menentukan takat penggunaan ATPM oleh guru-guru matematik.
v. mengkaji penggunaan ATPM oleh guru-guru berdasarkan peringkat umur.
vi. menentukan sumber guru mendapatkan kemahiran menggunakan ATPM.

Empat faktor telah dikenalpasti dalam review of literature sebagai faktor yang memainkan peranan dalam penggunaan ATPM di sekolah. Faktor-faktor ini terdiri daripada :

a. sikap guru terhadap penggunaan ATPM.
b. kemahiran guru terhadap penggunaan ATPM.
c. kursus dan latihan guru ke atas penggunaan ATPM.
d. Pengurusan sekolah terhadap penggunaan ATPM.

METODOLOGI.

Kajian ini dijalankan secara tinjauan menggunakan kaedah pensampelan bertujuan. Instrumen yang digunakan mengandungi tiga bahagian. Bahagian pertama mengandungi item-item demografi, bahagian kedua mengandungi ite-item kekerapan penggunaan ATPM dan bahagian ketiga mengandungi item-item tanggapan guru terhadap ATPM. Bahagian ketiga dibahagikan kepada empat subskala; (a) sikap guru terhadap ATPM (rtt = 0.82), (b) kemahiran guru tentan penggunaan ATPM (rtt = 0.73), (c) kursus latihan guru menggunakan ATPM (rtt = 0.70) dan (d) pengurusan sekolah dalam penggunaan ATPM (rtt = 0.84). Pungutan data dibuat menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian yang ditadbirkan kepada guru yang datangnya dari berbagai jenis sekolah.

SAMPEL KAJIAN.

Sebanyak 314 buah sekolah termasuk sekolah rendah dan menengah telah dipilih berdasarkan guru-guru yang mendaftar diri mengikuti pengajian pendidikan di UPSI. Partisipan dalam kajian ini terdiri dari mereka yang pernah mengajar di sekoah kebangsaan 194 (61.8%), sekolah rendah kebangsaan 26 (8.3%), sekolah jenis kebangsaan Cina 29 (9.2%), sekolah jenis kebangsaan Tamil 30 (9.5%) dan sekolah menengah 35 (11.1%). Persampelan ini telah diperincikan lagi kepada jantina dan lokasi sekolah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
[1] Telah di bentangkan di Konvensyen Teknologi Pendidikan Ke-18: Inovasi Teknologi Instruksional dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Pada 16 September 2005 hingga 19 September 2005 di Hotel Grand Continental Kuala Terengganu.



Pada keseluruhannya partisipan terdiri daripada 115 (36.6%) orang guru lelaki dan 199 (63.4%) orang guru perempuan. Terdapat 149 (47.4%) dari bandar dan 165 (52.5%) dari luar bandar. Persampelan ini bolehlah dianggap seimbang dari aspek lokaliti dan jantina.

ANALISIS DATA.

Data yang telah dipungut melalui borang soalselidik yang diedarkan dianalisis dengan menggunakan pakej SPSS window version 11. Statistik deskriptif dan inferential telah digunakan untuk menganalisis semua data kajian termasuklah kekerapan, peratusan, min, sisihan piawai, chi-ganda dua, anova dan ujian-t.

DAPATAN KAJIAN.

Jadual 2 menunjukkan 50% daripada sekolah (SK, SRK, SJKC, SJKT dan SM) kerap menggunakan carta matematik, model, poster matematik dan alatan matematik. Kajian ini mendapati peralatan moden seperti televisyen, video dan komputer begitu jarang digunakan. Hampir 50% dari setiap jenis sekolah tidak pernah menggunakan komputer yang merupakan alat tercanggih masa kini dalam pengajaran mereka di bilik darjah.

(a) Penggunaan ATPM Oleh Guru Matematik

Lebih dari 90% guru matematik masih lagi kekal menggunakan Carta Matematik (97.9%), Model (92.7%), poster matematik(93.4%) dan peralatan matematik (97.9%) berbanding dengan ATPM moden yang penggunaanya masih lagi diperingkat yang rendah TV (53.2%), peralatan video (35.5%) dan komputer (39.2%). Keadaan ini dapat diperhatikan dengan jelas melalui Jadual 3. Ramai guru matematik masih lagi bergantung dengan ATPM konvensional.


(b) Penggunaan ATPM Mengikut Umur.

Jadual 4 menunjukkan taburan bilangan guru yang menggunakan ATPM mengikut peringkat umur. Keadaan yang sama juga dapat dilihat bagi semua partisipan yang menggunakan ATPM. Kurang dari 40% guru menggunakan komputer dalam P&P mereka. Ramai guru gemar menggunakan carta matematik (91.9%) diikuti dengan peralatan matematik (91.9%) dan Model (89.1%). Jika dilihat penggunaan ATPM berdasarkan peringkat umur pula, mereka yang berumur antara 25 ke 35 tahun begitu kerap menggunakan ATPM berbanding dengan kumpulan berumur kurang dari 25 tahun atau yang melebihi 36 tahun.

(c) Kecukupan Alat ATPM di Pusat Sumber.

Jadual 5 menunjukkan lebih dari 60% guru matematik dari semua jenis sekolah sama ada di bandar atau di luar bandar menyetujui bahawa ATPM yang terdapat di pusat sumber untuk kegunaan mereka adalah kurang mencukupi. Mereka adalah guru matematik yang sepatutnya menggunakan pusat sumber sebagai tempat utama untuk mendapatkan bahan bantu mengajar untuk kegunaan pengajaran matematik yang dianggap sebagai matapelajaran yang penting dan sukar.


(d) Sumber Guru mendapatkan kemahiran ATPM.

Jadual 6 menunjukkan lebih dari 70% guru bersetuju bahawa mereka sering mendapatkan kemahiran menggunakan ATPM daripada rakan sekerja mereka. Kurang dari 25% mendapatkan kemahiran ATPM daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (20.6%) atau dari pihak Swasta (20.4%)


(e) kesan Perbezaan Dalam Ciri-Ciri Demografi Guru Ke Atas Faktor-Faktor Yang memainkan Peranan Dalam Penggunaan ATPM.

Iii) Kekerapan menggunakan alat ATPM mengikut jantina.

Pada keseluruhannya adalah didapati peratusan yang lebih tinggi guru perempuan (melebihi 50%) tidak pernah menggunakan ATPM berbanding dengan guru lelaki (40% ke 48%). Jadual 7 menunjukkan nilai khi kuasa dua bagi kategori jantina (lelaki dan perempuan) dengan empat kategori kekerapan penggunaan ATPM. Analisis mengikut jantina ini menunjukkan aras signifikan cerapan adalah kurang dari 0.05 bagi enam ATPM yang membenarkan rumusan dibuat bahawa respon guru lelaki dan perempuan ke atas kekerapan penggunaan ATPM adalah bebas. Ini bermakna terdapat pergantungan signifikan atau wujud satu bentuk pertalian yang tidak homogen dalam penggunaan ATPM yang berlainan kekerapan menggunakan ATPM bagi guru lelaki dan perempuan; Radio χ² = 20.551 (p = 0.000 dk = 3), perakam video χ²= 19.240 (p = 0.000 dk = 3), komputer χ² = 12.970 (p = 0.005 dk = 3), carta matematik χ² = 15.819 (p = 0.001 dk = 3), poster matematik χ² = 15.685 (p = 0.001 dk = 3) dan peralatan matematik χ² = 14.747 (p = 0.002 dk = 3).




i) Tanggapan Guru Bandar dan Guru Luar Bandar Terhadap Penggunaan ATPM.

Ujian-t telah dibuat untuk menentukan skor min partisipan guru yang datangnya dari bandar dan luar bandar ke atas faktor yang memberi kesan ke atas penggunaan ATPM. Keputusan ujian-t mendapati perbezaan yang tidak signifikan bagi guru-guru bandar dan luar bandar. Jadual 8 menunjukkan keputusan hasil analisis ujian-t yang tidak signifikan (p > 0.05) bagi guru bandar dan luar bandar tentang penggunaan ATPM . Nilai t masing-masing adalah bererti pada aras 0.288, 0.458, 0.994 dan 0.780 iaitu satu aras yang lebih tinggi daripada 0.05. Maka dengan ini tiada perbezaan yang signifikan bagi guru bandar dan luar bandar ke atas faktor sikap guru terhadap penggunaan ATPM, kemahiran guru tentang penggunaan ATPM, mengikuti kursus/latihan tentang ATPM dan pengurusan sekolah dalam penggunaan ATPM.


ii) Tanggapan guru lelaki dan perempuan terhadap penggunaan ATPM.

Ujian-t sekali lagi digunakan untuk menentukan perbezaan antara lelaki dan perempuan terhadap faktor-faktor yang memberi kesan ke atas penggunaan ATPM seperti yang dinyatakan dalam Jadual 9. Hasil analisis ujian-t menunjukkan keputusan yang tidak signifikan ( p > 0.05) bagi guru lelaki dan perempuan tentang penggunaan ATPM. Nilai t, masing-masing adalah bererti pada aras 0.765, 0.967, 0.175 dan 0.650 iaitu satu aras yang lebih tinggi daripada 0.05. Maka dengan ini tiada perbezaan yang signifikan bagi guru lelaki dan perempuan ke atas faktor sikap guru terhadap penggunaan ATPM, kemahiran guru tentang penggunaan ATPM, mengikuti kursus/latihan tentang ATPM dan pengurusan sekolah dalam penggunaan ATPM.


(iii) Perbezaan Penggunaan Alat ATPM Mengikut Jenis Sekolah.

ANOVA juga digunakan untuk mencari perbezaan tanggapan terhadap faktor-faktor yang memberi kesan ke atas penggunaan ATPM dari pelbagai jenis sekolah. Sekali lagi Jadual 10 menunjukkan keputusan ANOVA yang tidak signifikan (p > 0.05) ke atas guru-guru dari (a) Sekolah Rendah aliran Kebangsaan (b) Sekolah Rendah aliran Bukan Kebangsaan dan (c) Sekolah Menengah. Nilai F bagi kempat-empat faktor tersebut adalah bererti dengan nilai p masing adalah pada 0.508, 0.446, 0.457 dab 0.530 iaitu satu aras yang lebih tinggi daripada 0.05. Maka tiada perbezaan yang signifikan dalam jenis sekolah didapati antara faktor sikap guru terhadap penggunaan ATPM, kemahiran guru tentang penggunaan ATPM, mengikuti kursus/latihan tentang ATPM dan pengurusan sekolah dalam penggunaan ATPM.



iv) Perbezaan Pengalaman Mengajar Ke Atas Penggunaan ATPM.

Tempoh mengajar di sekolah juga digunakan untuk menentukan sama ada terdapat perbezaan yang signifikan bagi guru-guru yang sudah lama mengajar ke atas faktor-faktor yang memberi kesan ke atas penggunaan ATPM. Jadual 11 menunjukkan ANOVA yang dibuat terhadap pengalaman mengajar guru-guru ke atas sikap mereka yang berkaitan dengan ATPM. Nilai F bagi empat-empat faktor tersebut adalah bererti dengan nilai p masing-masing adalah pada 0.889, 0.947, 0.627 dan 0.916 iaitu satu aras yang lebih tinggi daripada 0.05. Maka tiada perbezaan yang signifikan dalam pengalaman didapati ke atas faktor sikap guru terhadap penggunaan ATPM, kemahiran guru tentang penggunaan ATPM, mengikuti kursus/latihan tentang ATPM dan pengurusan sekolah dalam penggunaan ATPM.


PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN.

Pada umumnya didapati guru-guru masih mengutamakan penggunaan ATPM konvensional daripada yang moden. Keadaan ini mudah difahami kerana alat konvensional adalah biasa bagi mereka dan tidak begitu sukar untuk digunakan. Tambahan pula ianya mudah dipelajari dari rakan-rakan sekerja sahaja tanpa memerlukan bantuan pakar untuk mengendalikannya. Kajian ini juga mendapati bahawa peratusan guru yang tidak pernah menggunakan komputer dalam P&P adalah lebih tinggi daripada mereka yang menggunakan komputer dalam era IT masa kini.

Pada umumnya semua jenis sekolah menunjukkan pola yang sama dalam penggunaan ATPM. Hampir semua jenis sekolah menggunakan alatan matematik sebagai ATPM yang amat kerap sekali digunakan diikuti oleh carta matematik dan poster matematik. Alat ATPM yang amat jarang digunakan disemua jenis sekolah ialah slaid diikuti dengan video, komputer dan radio. Kementerian Pendidikan Malaysia harus dapat melihat keadaan yang berlaku di sekolah tentang penggunaan radio pendidikan terutamanya di sekolah rendah dan menengah rendah. Adalah diharapkan alat-alat ATPM berkenaan berada dalam keadaan yang baik tetapi digunakan sepenuhnya. Kegemaran guru menggunakan ATPM konvensional mendapat peneguhan daripada guru matematik yang begitu gemar menggunakan ATPM konvensional dan peratusan yang menggunakan ATPM moden adalah kurang dari 55%

Umur juga memainkan peranan dalam penggunaan ATPM bagi P&P. Didapati guru berumur antara 25 ke 35 tahun lebih aktif menggunakan ATPM berbanding dengan guru yang baru keluar dari maktab atau universiti. Manakala guru yang baru mula mengajar didapati lebih aktif menggunakan ATPM dari guru yang berumur lebih dari 35 tahun. Ketiga-tiga peringkat umur ini mempunyai pola yang sama dari aspek penggunaan ATPM moden dan konvensional.

Kekurangan alat ATPM di pusat sumber dan latihan kepada guru mungkin menjadi slah satu punca guru-guru kurang menggunakan ATPM moden yang mungkin wujud di pusat sumber. Mereka kurang mendapat latihan daripada pihak yang berkuasa dan merasa ragu-ragu untuk mempelajari dari rakan sekerja ditakuti akan merosakkan alatan ATPM yang canggih itu. Kajian ini juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang ketara antara guru dari kawasan bandar dan luar bandar dalam sikap mereka terhadap penggunaan ATPM. Begitu juga halnya dengan jantina guru tidak memainkan peranan dalam membezakan sikap mereka terhadap penggunaan ATPM.

Latarbelakang guru juga tidak memainkan peranan dalam tanggapan mereka terhadap ATPM. Sama ada guru itu berasal dari Sekolah Kebangsaan Atau bukan Kebangsaan (SJKC atau SJKT) atau Sekolah Menengah tidak membezakan tanggapan mereka terhadap penggunaan ATPM. Di samping itu pengalaman guru juga tidak dapat memberi perbezaan yang signifikan sama ada guru berkenaan telah mengajar lama atau baru mengajar. Keadaan ini mungkin disebabkan sistem pengendalian bilik sumber tidak membenarkan guru dapat menggunakan bilik sumber dengan bebas. Mereka terikat dengan beberapa peraturan yang menyekat kebebasan mereka menggunakan bilik sumber yang sepatutnya dapat membantu guru dalam menyediakan alat bantu mengajar.

No comments:

Post a Comment