Friday, May 22, 2009

KAJIAN KEPERLUAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH

KAJIAN KEPERLUAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH: SATU KAJIAN KES DI HILIR PERAK.

Oleh:
Mohammad Nasir bin Bistamam
Misnan bin Jemali
Haji Bhasah bin Haji Abu Bakar PhD
Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim


ABSTRAK

Sejak kebelakangan ini timbul pelbagai masalah yang dialami oleh pelajar-pelajar sekolah menengah. Ini telah melambatkan usaha-usaha untuk membina kecemerlangan dan keterampilan pelajar. Menyedari hakikat pentingnya aspek kecemerlangan ini pada pihak pelajar, maka satu kajian yang menggunakan instrumen Kajian Keperluan Pelajar yang telah disesuaikan daripada Senarai Semak Mooney (1993) Mooney Check List telah dijalankan untuk mengenalpasti aspek keperluan pelajar yang berkaitan dengan masalah pelajar di sekolah menengah. Terdapat 10 aspek keperluan pelajar di sekolah menengah telah dikenalpasti yang merangkumi aspek kesihatan diri, kewangan, kendiri social, kendiri peribadi, social remaja, keluarga, moral/agama, pembelajaran, peluang pendidikan tinggi/kerjaya dan persekolahan. Analisis data telah dibuat menggunakan SPSS Window Versi 9.05. Statistik deskriptif (min) dan statistic infrensi (Ujian-t dan Anova sehala) telah digunakan bagi mencapai tujuan kajian. Keputusan kajian telah mendapati min untuk keperluan perancangan tinggi dan kerjaya adalah tertinggi berbanding min keperluan pelajar daripada aspek-aspek lain. Hasil kajian juga mendapati terdapat perbezaan signifikan dalam aspek keperluan kewangan, social remaja, moral/agama, dan persekolahan di kalangan pelajar lelaki dan perempuan. Selain daripada itu, terdapat perbezaan signifikan dalam aspek perancangan pendidikan tinggi dan kerjaya di kalangan pelajar Melayu, Cina dan India. Hasil kajian ini diharapkan dapat dijadikan sebagai panduan untuk merancang program-program perkembangan diri dan pencegahan dalam Bimbingan & Kaunseling dan Kerohanian di sekolah pada masa akan datang.

Pengenalan

Pada hari ini di peringkat sekolah terutamanya sekolah menengah, banyak masalah yang ditimbulkan oleh pelajar seperti membawa senjata berbahaya, mengancam guru, guru besar/pengetua, melanggar peraturan-peraturan dan undang-undang sekolah, merosakkan harta benda sekolah, mencuri, mengancam/memeras ugut pelajar lain, menghisap rokok, mengambil dadah, berjudi, membantah arahan/hukuman guru, bercumbu dan berkhalwat, mengguna serta menulis dan melukis kata-kata/simbol lucah, membuat bising dan menggangu kelas, bergaduh dan berlawan, mengadakan peloncoan(ragging), ponteng, berambut panjang, datang lambat ke sekolah, sikap cuai dan lalai terhadap pelajaran, berpakaian tidak kemas dan tidak senonoh, degil dan selalu mengaibkan orang lain.

Pelbagai usaha dan strategi telah dilakukan untuk menanganinya, namun sebahagian besar masalah tersebut gagal ditangani dengan jayanya. Ini telah melambatkan usaha-usaha untuk membina kecemerlangan dan keterampilan pelajar. Menurut Glesser (dalam George dan Cristiani, 1995), dalam teori Realiti menegaskan kegagalan individu bagi mencapai keperluan asas (needs) dan kehendak (wants) kerap menjadikan individu tidak dapat menerima realiti hidupnya dan seterusnya terbelenggu dengan pelbagai masalah. Namun, menurut beliau lagi, kehadiran keperluan dan kehendak dalam diri manusia adalah begitu penting sekali. Ia adalah sumber motivasi intrinsik yang mendorong manusia untuk bergerak ke hadapan bagi mencapai nirwana kendiri.

Berhubung dengan keperluan asas tersebut, menurut Rogers (1959, dalam George dan Cristiani, 1995), berpendapat bahawa manusia memerlukan perhatian positif iaitu keperluan untuk disayangi, dihormati, disanjung, diterima dan dikasihi oleh orang lain serta penghargaan kendiri yang tinggi. Dalam hal ini Rogers juga telah berpendapat sekiranya ibu bapa sentiasa dapat memberikan kasih sayang serta perhatian positif kepada anaknya tanpa syarat, maka individu (anak) tersebut akan merasai dirinya amat dihargai dan diterima oleh ibu bapanya. Dalam hal ini Sarason & Sarason (1985), telah menekankan kehadiran sokongan sosial terutamanya daripada ibu bapa atau individu lain yang signifikan (guru dan persekitaran sekolah) adalah penting bagi pembentukan persepsi diri terhadap diri sendiri dan orang lain, dan persepsi ini akan menjadikan individu tersebut bertindak dengan memperlihatkan perlakuan yang membina atau sebaliknya apabila berinteraksi dengan persekitarannya.

Dalam itu pula, Trigwell dan Prosser (1991), telah melihat peri pentingnya persepsi pelajar terhadap persekitaran pembelajaran dan pendekatan pembelajaran dalam mempengaruhi kualiti dan kendiri seseorang pelajar. Menurut Sarason & Sarason (1985), konsep kendiri yang terbentuk kesan daripada sokongan sosial positif terbukti penting untuk perkembangan diri, hal ini disebabkan konsep kendiri adalah persepsi terhadap diri, dan konsep kendiri yang tinggi membolehkan manusia mempersepsikan persekitaran mereka secara realistik. Menurut Sidek (1996), motivasi dan kendiri pelajar sekolah dapat ditingkatkan dengan memberi penekanan kepada program perancangan pendidikan tinggi dan kerjaya. Malahan menurut Holland (1945), melalui pendedahan dalam dunia pekerjaan, pelajar akan dapat merancang masa hadapan dengan penuh realistik dan seterusnya motivasi belajar dapat ditingkatkan.

Menurut Jessor dan Jessor (1986) pula, individu boleh mengawal diri daripada melakukan tingkah laku negatif dan seterusnya dapat melakukan tingkahlaku positif berdasarkan kekuatan pegangan agama dan kepercayaan. Persekitaran (keluarga, rakan-rakan dan individu lain yang signifikan seperti guru-guru) memainkan peranan penting menyemai dan menguatkan pegangan agama dan kepecayaan. Pegangan agama dan kepercayaan yang kuat dapat menghindarkan individu melakukan tingkah laku negatif.
Menurut Jessor dan Jessor lagi, persekitaran (keluarga dan sekolah) dapat menjadi model atau contoh kepada tingkah laku individu. Sekiranya model atau contoh yang hampir dengan individu tersebut positif, maka proses modeling dan pembelajaran sosial mudah berlaku dan individu tersebut akan terdorong untuk bertingkah laku positif. Sekiranya negatif, maka proses modeling dan pembelajaran sosial akan terdorong untuk bertingkahlaku negatif juga.

Berdasarkan kepada pandangan-pandangan di atas, serta Senarai Semak Mooney (1993) Mooney Check List bolehlah dirumuskan bahawa terdapat 10 faktor keperluan (needs) yang dapat mengaitkan masalah pelajar di sekolah menengah telah dikenalpasti, iaitu merangkumi aspek kesihatan diri, kewangan, kendiri sosial, kendiri peribadi, sosial remaja, keluarga, moral/agama, pembelajaran, peluang pendidikan tinggi/kerjaya dan persekolahan.

Di samping itu, Murray (1968), telah menegaskan tentang terdapatnya perbezaan keupayaan kejantinaan terhadap tingkahlaku individu. Sementara itu, lokasi tempat tinggal dan sekolah pelajar juga memainkan peranan dalam mempengaruhi perlakuan pelajar. Welstad dan Soper (1989), telah menjelaskan bahawa faktor etnik, latarbelakang keluarga dan juga faktor sosio-ekonomi mempengaruhi perlakuan pelajar di samping sikap mereka terhadap mata pelajaran ekonomi.

Menyedari hakikat pentingnya usaha membina kecemerlangan pada pihak pelajar, maka Kajian Keperluan Pelajar telah dijalankan untuk mengenalpasti apakah keperluan pelajar sekolah yang mungkin ada kaitannya dengan masalah-masalah yang ditimbulkan oleh pelajar di sekolah menengah pada masa kini. Keputusan daripada kajian ini diharapkan dapat dijadikan sebagai satu panduan untuk merancang program-program perkembangan diri dan pencegahan dalam Unit Bimbingan dan Kaunseling dan Unit Agama dan Kerohanian di sekolah pada masa akan datang. Semoga usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya demi untuk membentuk pelajar yang cemerlang dan berketrampilan.


2. Tujuan Kajian

1. Melihat tahap keperluan pelajar dalam aspek kesihatan diri, kewangan, kendiri sosial, kendiri peribadi, keluarga, sosial remaja, agama/moral, pembelajaran, perancangan pendidikan tinggi/kerjaya dan persekolahan.
2. Melihat perbezaan keperluan pelajar dalam aspek kesihatan diri, kewangan, kendiri sosial, kendiri peribadi, keluarga, sosial remaja, agama/moral, pembelajaran, perancangan pendidikan tinggi/kerjaya dan persekolahan di kalangan pelajar lelaki dan pelajar perempuan.

3. Melihat perbezaan keperluan pelajar dalam aspek kesihatan diri, kewangan, kendiri sosial, kendiri peribadi, keluarga, sosial remaja, agama/moral, pembelajaran, perancangan pendidikan tinggi/kerjaya dan persekolahan di kalangan pelajar bandar dan pelajar luar bandar.

4. Melihat perbezaan keperluan pelajar dalam aspek kesihatan diri, kewangan, kendiri sosial, kendiri peribadi, keluarga, sosial remaja, agama/moral, pembelajaran, perancangan pendidikan tinggi/kerjaya dan persekolahan di kalangan pelajar Melayu, pelajar Cina dan pelajar India.


3. Rekabentuk Kajian

Kajian dijalankan dengan menggunakan Kaedah Survey berdasarkan instrumen Kajian Keperluan Pelajar (KKP). Dalam kajian ini pengkaji ingin melihat tahap pembolehubah utama iaitu keperluan pelajar sebagai pembolehubah bersandar dalam 10 aspek keperluan iaitu kesihatan diri, kewangan, kendiri sosial, kendiri peribadi, keluarga, sosial remaja, agama/moral, pembelajaran, perancangan pendidikan tinggi/kerjaya dan persekolahan. Selain daripada itu, pengkaji ingin juga melihat perbezaan keperluan pelajar dibandingkan dengan faktor demografi subjek iaitu jenis sekolah, jantina dan kaum. Dalam hal ini faktor demografi bertindak sebagai pembolehubah tidak bersandar, manakala keperluan pelajar pula sebagai pembolehubah bersandar.

3.1 Instrumen Kajian

Instrumen kajian yang digunakan untuk mendapatkan maklumat adalah Soal Selidik yang mengandungi 2 bahagian. Bahagian A merupakan demografi partisipen iaitu nama sekolah, jantina dam kaum. Bahagian B pula konstruk ‘Kajian Keperluan Pelajar’ (KKP) yang telah disesuaikan daripada Senarai Semak Mooney (1993). Bahagian berkenaan mengandungi 10 sub-konstruk yang merupakan 10 jenis keperluan pelajar. KKP mengandungi 100 item positif terdiri daripada 2 aras ‘Ya’ (Y) dan‘Tidak’ (T). Sub-konstruk berkenaan terdiri daripda aspek kesihatan diri, kewangan, kendiri sosial, kendiri peribadi, keluarga, sosial remaja, , agama/moral, pembelajaran, perancangan pendidikan tinggi/kerjaya dan persekolahan. Instrumen ini mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi. Didapati koeffisien realibiliti Alpha setiap sub-konstruk.adalah 0.64 (Kesihatan), 0.78 (Kewangan), 0.69 (Kendiri Sosial), 0.76 (Sosial Remaja), 0.62 (Keluarga), 0.7 (Agama/Moral), 0.6 (Pembelajaran), 0.79 (Kerjaya/Pend. Tinggi) dan 0.79 (Persekolahan).

3.3 Sampel Kajian
Seramai 171 partisipan di kalangan pelajar-pelajar tingkatan 5 telah dipilih yang mengandungi 85 Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa (SMKRMM) dan 86 Sekolah Menengah Kebangsaan Hutam Melintang (SMKHM). Partisipan kajian ini terdiri dariapada 105 Melayu, 35 Cina dan 31 India; 81 lelaki dan 90 perempuan. Sementara itu banyak faktor demografik yang mungkin mempengaruhi keperluan pelajar, namun dalam kajian ini hanya menumpukan kepada faktor jenis sekolah iaitu bandar (SMKRMM) dan luar bandar(SMKHM), jantina iaitu lelaki dan perempuan, dan kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

3.4 Penganalisisan Data

Data kajian yang telah diperolehi telah dikumpul dan dianalisis dengan menggunakan ‘The Statistical Package for Social Science (SPSS)’. Untuk mencapai tujuan kajian pula, statistik deskriptif dan statistik inferensi telah digunakan.


4. Dapatan Kajian

4.1. Berdasarkan kepada Tujuan Kajian 1.

Skor min digunakan bagi mencapai tujuan kajian 1. Jadual 1 menunjukkan skor min dan sisihan piawai Keperluan Pelajar secara keseluruhan. Daripada jadual tersebut, keputusan yang diperolehi menunjukkan skor min Keperluan Pelajar untuk aspek Perancangan Pendidikan Tinggi/kerjaya (7.4), Pembelajaran (6.9), Kewangan (4.8), Kendiri Peribadi (4.7), Persekolahan (4.6), Kesihatan Diri (4.6), Kendiri Sosial (4.3), Sosial Remaja (4.0), Agama/Moral (3.9) dan Keluarga (3.2). Keputusan ini menunjukkan skor min Keperluan Pelajar aspek Perancangan Pendidikan Tinggi/kerjaya adalah tertinggi berbanding aspek yang lain, manakala skor min Keperluan Pelajar aspek Keluarga adalah yang terendah.

4.2 Berdasarkan kepada Tujuan Kajian 2.

Ujian – t digunakan bagi mencapai tujuan kajian ke dua. Daripada Jadual 2, keputusan kajian mendapati tidak terdapat perbezaan keperluan pelajar dalam aspek kesihatan, kendiri sosial, kendiri peribadi, keluarga, pembelajaran dan perancangan pendidikan tinggi/kerjaya di kalangan pelajar lelaki dan pelajar perempuan.

Sementara itu keputusan kajian mendapati terdapat perbezaan signifikan keperluan pelajar dalam aspek kewangan, sosial remaja, agama/moral dan persekolahan di kalangan pelajar lelaki dan perempuan pada nilai t (169) = 2.4, (p < .05) aspek kewangan, t (169) = 2.1, (p < .05) aspek Sosial Remaja, t (169) = 2.4, (p < .05) aspek Agama/moral dan t (169) = 3.0, (p < .05) aspek persekolahan. Berdasarkan kepada skor min keperluan pelajar di kalangan pelajar lelaki lebih tinggi berbanding dengan keperluan pelajar di kalangan pelajar perempuan dalam keempat-empat aspek di atas.
4.3 Berdasarkan kepada Tujuan Kajian 3.

Ujian – t digunakan bagi mencapai tujuan kajian ke tiga. Berdasar kepada Jadual 3 , keputusan kajian mendapati tidak terdapat perbezaan keperluan pelajar dalam semua aspek di kalangan pelajar sekolah bandar dan luar bandar.


4.4 Berdasarkan kepada Tujuan Kajian 4.

Anova sehala pula digunakan bagi mencapai tujuan kajian keempat. Berdasarkan Jadual 7, kajian mendapati tidak terdapat perbezaan keperluan pelajar dalam aspek kesihatan, kewangan, kendiri sosial, kendiri peribadi, sosial remaja, keluarga, agama/moral, pembelajaran dan persekolahan di kalangan pelajar Melayu, Cina dan India.
Sementara itu kajian mendapati terdapat perbezaan signifikan keperluan pelajar dalam aspek perancangan pendidikan tinggi/kerjaya di kalangan pelajar Melayu, Cina dan India pada nilai F (2,168) = 8.08, (p < .05). Berdasarkan kepada skor min keperluan pelajar dalam aspek perancangan pendidikan tinggi/kerjaya di kalangan pelajar Melayu lebih tinggi berbanding dengan pelajar Cina dan India.


Jadual 4 : Anova Sehala Perbezaan Keperluan Pelajar Mengikut Kaum
5. Perbincangan dan Rumusan

5.1 Keperluan Pelajar Secara Umum

Daripada hasil kajian didapati keperluan utama pelajar-pelajar sekolah menengah adalah Perancangan Pendidikan Tinggi dan Kerjaya, di mana mereka memerlukan bimbingan dan pendedahan dalam perancangan pendidikan tinggi serta maklumat kerjaya. Keperluan kedua adalah pembelajaran di mana pelajar-pelajar memerlukan bimbingan dan panduan dalam strategi belajar berkesan dalam beberapa mata pelajaran tertentu. Keperluan ketiga adalah kewangan di mana mereka memerlukan sokongan dan bantuan dalam bentuk kewangan. Di samping itu keperluan keempat adalah kendiri peribadi, di mana mereka memerlukan bimbingan secara dalaman (intrapersonal) bagi meningkatkan kendiri dan keyakinan diri bagi mengelakkan rasa rendah diri dan tertekan seterusnya menarik diri dalam menghadapi sesuatu.

Pelajar-pelajar juga menghadapi keperluan untuk suasana positif, diterima dan menerima sokongan daripada persekolahan terutamanya guru, rakan sebaya dan pentadbir bagi mengelakkan mereka merasa jemu dengan persekitaran sekolah, seterusnya terlibat dalam budaya ponteng dan lari daripada sekolah. Di samping itu mereka juga menghadapi keperluan kesihatan diri, di mana pelajar-pelajar memerlukan bimbingan dalam aspek perkembangan dan kesihatan diri.

Di samping aspek-aspek keperluan di atas, keperluan-keperluan lain juga perlu diberi perhatian seperti kendiri sosial, di mana mereka memerlukan bimbingan dalam meningkatkan kendiri dalam membina komunikasi dan hubungan interpersonal; sosial remaja, di mana mereka memerlukan bimbingan dalam meningkatkan hubungan sosial terutamanya yang berkaitan dengan cinta remaja; agama/moral, di mana mereka memerlukan panduan dan bimbingan dalam agama atau moral bagi menghadapi desakan dalam melakukan perlakuan negatif dan kesetabilan keluarga, di mana mereka memerlukan suasana positif, diterima dan menerima sokongan daripada keluarga – ibubapa, dan adik beradik..

5.2 Keperluan Pelajar di Kalangan Pelajar Lelaki Berbanding Pelajar Perempuan.

Hasil daripada kajian ini didapati dalam beberapa keperluan pelajar seperti kewangan, sosial remaja, agama/moral dan persekolahan didapati keperluan pelajar di kalangan pelajar lelaki lebih tinggi berbanding pelajar perempuan. Dalam ertikata lain, pelajar lelaki memerlukan perhatian daripada semua pihak dalam aspek keperluan berkenaan berbanding pelajar perempuan. Pelbagai program dan aktiviti perlu di tekankan terhadap pelajar lelaki dalam aspek berkenaan untuk mengelakkan daripada mereka terlibat dalam perlakuan negatif.

5.3 Keperluan Terhadap Perancangan Pendidikan Tinggi dan Kerjaya

Daripada kajian ini juga mendapati keperluan mendapatkan bimbingan dan pendedahan dalam perancangan pendidikan tinggi dan kerjaya adalah sebagai keperluan pelajar yang utama pada masa kini. Di kalangan pelajar Melayu, Cina dan India didapat pelajar-pelajar Melayu lebih memerlukan bimbingan dan pendedahan tersebut. Hal ini mungkin ada kaitannya dengan perkembangan pesat dalam pasaran pekerjaan dan kerjaya serta peluang-peluang pendidikan tinggi dalam pelbagai jurusan yang berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini. Justeru itu program-program kerjaya dan pendidikan tinggi perlu lebih didedahkan lagi di kalangan mereka.

5.3 Rumusan

Dalam proses perkembangan diri pelajar-pelajar sekolah, banyak keperluan diri pelajar perlu di beriperhatian oleh semua pihak, terutamanya keperluan terhadap perancangan pendidikan tinggi dan kerjaya, pembelajaran, kewangan, kendiri peribadi dan persekolahan. Di samping itu pula mereka juga memerluka bimbingan dan panduan dalam kesihatan diri, kendiri sosial, sosial remaja, agama/moral dan sokongan keluarga. Sistem sokongan sosial terutamanya daripada keluarga, guru-guru dan rakan sebaya boleh digunakan sebagai mekanisme yang utama dalam memenuhi keperluan-keperluan pelajar tersebut, terutamanya dalam perancangan sebarang program perkembangan diri pelajar. Selain daripada itu pelajar- pelajar lelaki didapati lebih banyak memerlukan perhatian daripada semua pihak terutamanya keluarga dan pihak sekolah. Dengan perhatian dan penerimaan daripada semua pihak, maka keperluan psikologi mereka dapat dipenuhi dan adalah dipercayai hal ini akan dapat meningkatkan kendiri pelajar untuk menghadapi kehidupan yang lebih mencabar. Keadaan ini dijangka akan mempengaruhi pencapaian dalam banyak bidang seperti pembinaan sahsiah, ko kurikulum dan terutamanya dalam bidang akademik.

No comments:

Post a Comment