Thursday, May 14, 2009

Instrument Penghayatan Nilai Islam di Kalangan Pelajar-Pelajar Islam Sekolah Rendah - Satu Kajian Awalan.

Instrumen Penghayatan Nilai Islam
di Kalangan Pelajar-Pelajar Islam Sekolah Rendah – Satu Kajian Awalan.


Oleh:
Bhasah Hj.Abu Bakar
Maziahtushima Ishak
Program Pendidikan
Universiti Sains Islam Malaysia. Nilai.


Abstrak:

Banyak telah diperkatakan tentang penghayatan nilai Islam oleh pelajar-pelajar Islam sekolah rendah namun belum terdapat satu instrumen yang mantap dan sah untuk menentukan nilai penghayatan berkenaan (Azma, 2002). Pelajar dari Tahun Satu sekolah rendah hingga ke Tingkatan Lima sekolah menengah telah diasuh dan di didik dengan nilai-nilai Islam dimana mereka wajib mempelajari nilai-nilai Islam berkenaan melalui mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah. Di sini penulis ingin mengemukakan satu cadangan dalam mengukur penghayatan nilai Islam berkenaan berdasarkan nilai-nilai Islam seperti yang disyaratkan dalam kurikulum yang diikuti oleh pelajar di sekolah rendah sahaja. Sebanyak 11 nilai Islam telah disisih dari kurikulum Pendidikan Islam. Nilai dengan rakan sahaja telah diselidiki untuk pembentangan ini. Analisis faktor dan beberapa ujian statistik lain digunakan untuk membantu menentukan item-item yang paling sesuai digunakan bagi menentukan sub-konstruk berkenaan. Semua item dalam setiap sub-konstruk yang mempunyai factor loading melebih 0.5 telah dipilih sebagai item penentu konstruk disamping memastikan tidak ada ciri-ciri penting konstruk dicicirkan dari kajian. Kajian awalan ini telah dijalankan ke atas 20 buah sekolah rendah kebangsaan di kawasan Lembah Kelang yang mengandungi 164 partisipan dipilih secara rawak. Kajian ini mendapati pelajar masih lagi pada tahap sedang mengorganisasikan nilai-nilai Islam berkenaan ke dalam jiwa mereka.

Latar Belakang:

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah dalam usaha untuk meningkatkan lagi penghayatan Islam bagi pelajar-pelajar sekolah menengah. Pelbagai cara telah diusahakan oleh pihak kementerian. Ini termasuklah menambahkan lagi mata pelajaran Islam di sekolah menengah dan memperkenalkan J-QAF dikalangan pelajar sekolah rendah. Zainal Abidin (1988) telah menjelaskan bahawa kurikulum Pendidikan Islam telah dibentuk berasaskan kepada keperluan dan matlamat untuk memberi pengetahuan mengenai Agama Islam kepada pelajar-pelajar. Oleh itu penekanan pengajaran ustaz/ustazah adalah kepada penyampaian maklumat dan ilmu mengenai Agama Islam agar lulus peperiksaan daripada pencapaian dalam aspek amalan dan penghayatan Islam. Tumpuan dan penekanan mata pelajaran pendidikan islam dalam KBSM adalah kepada penghayatan dan amalan islam disamping kefahaman terhadap ajaran agama islam keseluruhannya (PPK, 1987). Malah mata pelajaran Pendidikan Islam telah digubal berasaskan konsep Islam sebagai satu cara hidup (Wan Mohd Zahid, 1992). Bagi memastikan keberkesanan pendidikan islam di peringkat menengah ini, orientasi pengajaran dan pembelajaran dikaitkan dengan amalan dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai daripada mata pelajaran lain pula digabungjalinkan supaya pelajar kesefahaman di antara ilmu-ilmu yang dipelajari (PPK, 1989).

Azma et. al (2002) juga menyetujui bahawa pembinaan instrumen bagi mengukur penghayatan mata pelajaran Pendidikan Islam adalah penting dan mendesak memandangkan telah banyak usaha dibuat untuk memastikan penerapaan berkesan ajaran-ajaran Islam kepada pelajar-pelajar. Pengukuran ini perlu dibuat untuk mengesan tahap penghayatan Islam pelajar-pelajar dalam kehidupan seharian mereka agar langkah-langkah wajar seperti program intervensi dapat difikirkan dan dilaksanakan bagi memastikan pelajar diberi bimbingan berterusan sepanjang masa persekolahan. Melalui pengukuran ini diharap dapat dikenalpasti sejauh manakah matlamat untuk menjadikan pelajar-pelajar Islam sebagai muslim yang berilmu, beriman, berketrampilan, beramal salih dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan As-sunnah telah dicapai.

Hampir saban hari kita dikejutkan dengan berita-berita keganasan dan keruntuhan moral yang semakin berleluasa di kalangan anak-anak kita. Dari seawal usia 10 tahun sehingga menginjak usia remaja belasan tahun, gejala sosial semakin menjadi-jadi. Ibu bapa, guru-guru, pihak sekolah, pemimpin-pemimpin negara dan masyarakat dilihat seolah-olah tidak mampu membendung gejala tidak sihat ini menyusup masuk ke dalam kehidupan anak-anak yang rata-ratanya terdiri daripada kaum Melayu yang beragama Islam. Keruntuhan moral anak-anak masa kini umpama penyakit barah yang tidak dapat dikawal. Walaupun di dalam Islam terdapat pelbagai suruhan dan ajaran baik, Rasulullah SAW tetap menegaskan kepada umatnya bahawa timbangan amal kebajikan yang dikehendaki di akhirat kelak ialah akhlak yang baik (Muhammad Al-Ghazali, 2005).

Menurut Ahmad (2004), antara matlamat Kurikulum Pendidikan Islam Sekolah Rendah ialah untuk melahirkan Muslim yang berilmu, beriman, berketrampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia berdasarkan Al-Quran dan sunnah supaya menjadi hamba dan khalifah yang bertakwa dan menyumbang ke arah mempertingkatkan tamadun bangsa dan negara. Kandungan kurikulum tersebut sepatutnya mampu membina generasi Khairah Ummah yang diharapkan kerana di antara aspek yang diberi perhatian khusus ialah tumpuan terhadap bidang akhlak Islamiah di mana murid-murid diajar mengenai kepatuhan terhadap peraturan dan cara hidup Muslim dalam hubungan dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW selain peraturan dan tatacara perhubungan manusia dengan diri sendiri, keluarga, alam sekitar, masyarakat dan negara. Namun begitu, penghayatan dan amalan nilai murni di luar bilik darjah masih di tahap menyedihkan. Satu kajian oleh Salleh dan Mohd. Mokhtar (2008) terhadap para pelajar sebuah IPTA tentang pandangan mereka mengenai pengalaman sewaktu bersekolah, sebahagian responden menyatakan guru-guru lebih menekankan aspek kecemerlangan dalam peperiksaan sehingga kurang menekankan aspek pembangunan modal insan. Kenyataan ini jika diteliti ada kebenarannya. Kejayaan seseorang individu pada masa ini diukur dari aspek kecemerlangan akademik, manakala aspek kemuliaan akhlak kurang ditekankan walaupun banyak usaha dilakukan oleh pelbagai pihak. Kajian yang sama juga mendapati 64% responden menyatakan mereka mempelajari subjek Pendidikan Islam tetapi tidak mengamalkan apa yang dipelajari sepenuhnya.

Di dalam Islam, semua perbuatan dan tingkah laku yang menjadi amalan seharian ada prosedur-prosedur tertentu yang perlu dupatuhi oleh setiap umatnya. Prosedur ini bukanlah bertujuan menyusahkan umat Islam tetapi sebagai jaminan ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Prosedur-prosedur ini yang boleh dizahirkan melalui proses tarbiah iaitu meliputi usaha pembentukan umat Islam dari segi asmani, akli, rohani, perasaan dan sosial sehingga mereka menjadi ahli anggota masyarakat yang berguna kepada masyarakatnya (Zahazan, 2006). Aristotle, Jan Jack Rosso dan Ibn Sina (Zahazan, 2006) pula berpendapat “Pendidikan itu berlaku dengan cara membiasakan anak membuat nilai-nilai dan norma-norma yang baik dalam suatu jangka waktu yang lama sehingga dia biasa melakukan perbuatan-perbuatan yang baik tadi.”

Pendidikan di peringkat sekolah rendah seharusnya banyak mengandungi elemen-elemen pengukuhan jiwa kerana Islam berpandangan kanak-kanak adalah golongan yang mudah dipengaruhi kerana mereka akan menerima semua perkara bagi melengkapkan dirinya tanpa sebarang penentangan. Antara perkara-perkara asas yang menjadi tuntutan di dalam Islam ialah untuk menanamkan akhlak yang baik dalam diri anak-anak seperi mengajar anak menyebut kalimah tauhid, mengajar anak solat seawal usia 7 tahun, mengajar anak membaca Al-Quran dan menghafalnya, menanam akhlak yang baik dalam diri anak-anak dan adab-adab lain yang bersesuaian mengikut peringkat umur mereka. Dari aspek pergaulan sesama rakan taulan, Islam telah menggariskan pelbagai panduan yang mengandungi banyak manfaat jika setiap umat Islam menghayatinya. Sabda Rasulullah SAW “Sesungguhnya aku Muhammad SAW tidak diutus melainkan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” Kemuliaan akhlak sangat-sangat dituntut oleh Islam sehinggakan cara duduk, cara bergaul, cara meminta izin, cara menjawab salam dan berbagai-bagai lagi diberi perhatian oleh Islam. Sebagai contoh, sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai adab apabila bertemu sesama saudaranya “Jangan sekali-kali kamu menghinakan sesuatu yang baik dan kalaulah kamu bertemu saudaramu hendaklah dengan muka yang manis.”

Perhubungan manusia sesama manusia juga amat dititikberatkan di dalam Islam selain perhubungan dengan Maha Pencipta. Allah berfirman di dalam Surah Al-Nism ayat 86 “Apabila diucap dengan satu ucapan maka balas olehmu dengan ucapan yang lebih baik daripadanya atau jawab secara yang elok, sesungguhnya Allah ke atas setiap sesuatu akan diperhitungkan.” Ayat Quran tersebut jelas menunjukkan Islam adalah sebuah agama yang menuntut setiap umatnya memuliakan saudaranya dengan perbuatan mudah yang tidak memerlukan pengorbanan material tetapi hanya dengan meringankan mulut memberi ucapan salam. Selain memberi salam, umat Islam juga dituntut supaya sentiasa menghormati hak saudaranya seperti perlu meminta izin terlebih dahulu seperti firman Allah SWT di dalam surah Al-Nur ayat 27 “Wahai orang yang beriman janganlah kamu masuk ke dalam sesebuah rumah yang bukan rumah kamu sehinggalah kamu meminta izin dan memberi salam ke atas ahli keluarga rumah tersebut yang demikian itu adalah lebih baik semoga kamu dapat mengambil peringatan.” Akhlak mulia ini perlu disemai dan dipupuk secara istiqamah ke dalam jiwa anak-anak kita supaya perlakuan baik ini akan menjadi sebati dengan diri mereka di mana sahaja mereka berada demi menjaga tatasusila hidup yang dipenuhi dengan keharmonian iman dan ketaqwaan.(Rokiah,t.t)

Kesatuan ummah menerusi perkongsian tanggungjawab untuk mencipta kegemilangan umat Islam seperti di zaman Rasulullah SAW harus dijadikan benchmark umat Islam di zaman ini. Justeru, setiap umat Islam perlu sedar bahawa setiap daripada umat Islam bertanggungjawab menyumbang kepada keruntuhan atau kejayaan sesebuah masyarakat. Sikap tolong menolong antara umat Islam perlu dipertingkatkan kerana ia merupakan satu kemuliaan yang amat penting dalam kehidupan harian dan sewajarnya dijadikan satu kebiasaan. Islam amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan sikap tolong menolong yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 2 “Tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan jangan sekali kali kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada perseteruan, dan takutlah kamu akan Allah. Sesungguhnya Allah akan mengenakan seksaan yang amat dahsyat.” Anak-anak perlu dididik dengan sifat mulia seperti ini kerana apabila mereka dewasa sifat ini sudah sebati di dalam diri mereka bak pepatah Melayu yang menyatakan ‘Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya’.

Objektif kajian:

Kajian ini cuba membentuk satu instrumen untuk mengukur interaksi antara pelajar dari aspek nilai yang pernah diperkenalkan dan diasuh di sekolah oleh ustaz/ustazah mereka dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Kajian ini lebih berbentuk satu kajian ex post facto terhadap nilai interaksi pelajar selepas pengajaran dibuat buat beberapa tahun.

Soalan Kajian:

Berdasarkan kepada objektif yang dinyatakan di atas, kami telah berusaha membangunkan satu instrumen untuk mengukur nilai interaksi antara pelajar. Oleh itu, pernyataan soalan kajian kami adalah:

Apakah tahap penerapan nilai-nilai Islam antara pelajar ?

Metodologi:

Kami telah menjalankan kajian ini secara berperingkat-peringkat mengikut konstruk yang hendak kami kaji. Untuk kertas kerja ini, kami hanya memberikan tumpuan kepada nilai Islam antara rakan yang dapat kami sisih dari kurikulum sekolah rendah yang menjadi amalan pelajar.

Pada peringkat awalannya, penyelidik telah membina satu instrumen untuk mengukur penerapan nilai-nilai Islam oleh pelajar yang telah disisih dari kurikulum sekolah rendah. Sebanyak 11 nilai utama telah dapat disisih dari kurikulum sekolah rendah. Untuk tujuan kertas kerja ini, penyelidik hanya menumpukan kepada satu nilai sahaja untuk dibentangkan – Nilai Islam Antara Pelajar. Pada peringkat awalnya sebanyak 33 item telah dapat dibina untuk mengkur nilai Islam antara pelajar - Apakah nilai pelajar terhadap pelajar yang lain dari perspektif Islam. Di sini kami ingin mengkaji nilai pelajar terhadap rakan mereka. Setakat mana nilai ini menjadi pegangan mereka atau dengan kata lain, setakat manakah nilai terhadap rakan telah berjaya diterap dalam jiwa mereka. Nilai-nilai ini telah pun diajar untuk amalan mereka sejak mereka berada di Tahun 1 lagi.

Jadual 1 menunjukkan Bilangan item Nilai Islam terhadap rakan yang cuba diterap oleh guru agama mengikut Tahun pengajaran-pembelajaran semasa di sekolah rendah.


Jadual 1: Bilangan Nilai Islam Terhadap Rakan Mengikut
Tahun Pengajaran dan Pembelajaran
Sampel:

Populasi kajian adalah pelajar-pelajar Tahun 6 Sekolah Rendah Kebangsaan di persekitaran Lembah Kelang. Sampel kajian adalah terdiri dari 156 orang pelajar tahun 6 yang baru 2 minggu tamat menduduki peperiksaan UPSR 2008 dipilih secara rawak dari beberapa buah sekolah rendah kebangsaan di Lembah Kelang..

Instrumen:

Satu set instrument dibina digunakan untuk kajian ini. Konstruk pengukuran adalah tahap penerapan nilai-nilai Islam antara rakan yang pernah dipelajari dari Tahun 1 hingga ke Tahun 6. Instrument terdiri dari Bahagian A dan Bahagian B. Bahagian A merupakan keperluan maklumat tentang demografi pelajar yang diselidiki dan sekali gus dijadikan sebagai pemboleh ubah tidak bersandar atau peramal bagi kajian ini. Bahagian B merupakan item-item kajian amalan nilai Islam yang sekali gus bertindak sebagai pemboleh ubah bersandar bagi kajian ini.

Prosedur:
Kajian ini pada asasnya mengandungi 2 fasa. Fasa pertama ialah pembentukan instrumen kajian untuk menentukan item-item yang sesuai digunakan sebagai konstruk bagi menentukan nilai-nilai Islam khas untuk pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6 yang diperolehi dari pembelajaran mereka di sekolah rendah kebangsaan secara formal. Lantaran itu, sukatan pelajaran Pendidikan Islam dari Tahun 1 hingga ke Tahun 6 dijadikan rujukan utama sebagai asas penentuan kepada nilai-nilai Islam yang dikaji. Instrumen ini nanti akan dijadikan sebagai asas bagi kajian penerapan nilai-nilai pelajar sekolah menengah yang bakal dipilih secara rawak. Namun demikian, untuk tujuan pembentangan ini, pengkaji hanya mengenengahkan kajian nilai antara rakan sahaja.

Konsep Penyelidikan Nilai Antara Rakan.

Pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam adalah satu mata pelajaran yang agak berbeza dengan mengajar mata pelajaran yang lain. Guru mata pelajaran lain mengharapkan pelajar dapat memahami dan dapat menguasai tajuk itu dengan baik. Manakala pengajaran dalam Pendidikan Islam pula, Ustaz/Ustazah yang mengajar amat berharap agar pelajar, di samping memahami dan menguasainya dengan baik juga dapat mengamalkannya dan menjadikannya sebagai satu pegangan hidup mereka yang berkekalan dan menjadi teras kehidupanyannya nanti. Di sini kita lihat, ia telah melangkaui satu domain kognitif dan menuju ke arah domain afektif pula.

Dalam pengajaran yang berteraskan kepada domain afektif, ustaz/ustazah perlu dapat menyusuri hieraki pengajarannya yang bermula dengan pendedahan sesuatu nilai diikuti pula dengan kefahaman pelajar yang jitu terhadap nilai yang cuba di ketengahkan kepada pelajar tadi. Ia sewajarnya dapat diajar dengan sejelas yang mungkin tentang konsepnya dan mengapa ia amat diperlukan dalam kehidupan manusia sehari-hari. Pelajar akan cuba memahami dan cuba pula untuk mengamalkan nilai-nilai berkenaan dari kaca mata mereka sendiri dan melihat setakat mana kebenaran apa yang diajar oleh ustaz/ustazah mereka. Mereka mungkin boleh menerima sesuatu nilai berkenaan atau menolaknya berdasarkan amalan yang mereka lakukan. Pelajar akan berhadapan dengan masyarakat sebenar sama ada di sekolah, dalam masyarakat luaran, rumah dan sekolah. Di sini pelajar akan memerhati dan menilai setakat mana apa yang mereka lakukan itu sejajar dengan keadaaan sekeliling. Suasana ini adalah berdasarkan kepada pemikiran yang mereka miliki dan hayati selama ini. Situasi ini kuat dipengaruhi oleh latar belakang pelajar itu sendiri. Mereka akan bertelagah atau berhujah demi mempertahankan nilai-nilai berkenaan yang kini semakin hampir untuk menjadi sesuatu yang perlu diikuti bagi dirinya. Seandainnya dia menerima apa yang dipelajari tadi, pelajar akan cuba mencari satu penyelesaian dalaman bagi mengiakan nilai yang dipegangnya tadi. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh membuat justifikasi tentang perlakuannya (nilai yang dipegang) itu adalah benar dan kini telah hampir menjadi amalan hariannya. Maknanya di sini, pelajar ingini menjiwai sesuatu nilai yang dipegangnya tadi. Jika sekiranya keadaan ini telah mantap dan dapat disepadukan dengan dirinya sendiri, ia akan terus berpegang dengan nilai berkenaan dan sebati dengannya. Walau apapun keadaan disekeliling yang tidak menyokong dengan nilai yang dipegangnya, ia akan tetap berusaha untuk menyatakan sebaliknya. Kerana apa yang dilakukannya, bukan lagi sesuatu yang koinsidental tetapi sesuatu yang telah diyakini dan akan berpegang teguh dengannya. Keadaan ini disebut sebagai telah dapat menghayati atau telah dapat menerapkannya dalam jiwa. Asas pengukuran kita disini ialah amalannya, jadi penyelidik menggunakan kekerapan amalan tadi sebagai kayu pengukurannya bagi menentukan tahap penerapan nilai kedalam jiwanya. (penjiwaan). Hakikatnya, Allah sahaja yang maha mengetahuinya.

Pembentukan Konstruk Nilai

Pada peringkat awalnya item-item nilai antara rakan yang kami pilih dari kurikulum sekolah telah dibuat analisis faktor untuk menentukan bilangan sub-konstruk yang wujud dalam konstruk nilai Islam antara pelajar dan mendapati 5 subkontruk (ciri) wujud dalam konsturk berkenaan. Oleh kerana matlamat kami adalah untuk menentukan konstruk nilai antara pelajar dengan mengambil kira setiap subkonstruk yang wujud dalam nilai antara rakan, maka kami telah memutuskan untuk mengambil faktor loading yang melebihi 0.50 sahaja dan menjadikan sebagai asas kepada nilai antara rakan. Korelasi yang tinggi ini cukup untuk mencerminkan unsur-unsur yang wujud dalam konstruk nilai antara rakan. Ini bermakna, pihak kami tidak meninggalkan mana-mana ciri bagi membangunkan konstruk nilai antara rakan.

Di sini kami sempat mengumpulkan sebanyak 15 item untuk tujuan berkenaan dengan nilai kebolehpercayaan alfanya 0.93 yang dianggap tinggi. Perlu ditegaskan di sini, kajian ini hanya mengambil kira sampel dari kawasan yang terhad di Malaysia, Lembah Kelang sahaja. Walaupun bilangan itemnya kecil, kami mengharapkan instrumen ini akan lebih cekap lagi berbanding dengan 32 item pada peringkat asalnya. Walaupun demikian, instrumen ini merupakan terlalu awal dan pengesahan yang cekap dalam menetapkan indek nilai belum dijalankan lagi. Kami perlu menetapkan norma bagi kajian kami terlebih dahulu dan melihat hubungan nilai dari sampel kami dengan sampel yang boleh dianggapkan norma bagi kajian kami nanti (convergent validity – divergent validity).

Dalam proses kami menentukan sama ada seseorang pelajar itu telah dapat menerapkan sesuatu nilai itu, penyelidik telah menggunakan rekabentuk penghayatan afektif dari Kratwohl untuk menentukan indek nilai berkenaan. Kami telah menggunakan 4 skala kekerapan dimana 1 Tidak pernah, 2 Kadang-kadang, 3 Kerapkali dan 4 Sentiasa. Berdasarkan teori pengukuran untuk taburan skor, kami telah mengambil kira keluk normal sebagai asas taburan nilai, ini kami rasakan amat bertepatan dengan kehendak alam (buat masa ini), dimana skala 4 telah kami normalkan kepada jadual dibawah mengikut peringkat afektif dalam Krathwohl dengan membuat sedikit pindaan pada titik memusat dikecilkan kepada 2 dari 2.08 (Jadual 2).

Jadual 2: Taburan Skor Nilai Berteraskan Keluk Normal.

















Analisis Data:

Pada umumnya, terdapat hampir 16% partisipan telah sampai ke tahap penerapan atau penghayatan nilai-nilai Islam dengan rakan. Manakala terdapat hampir 53% partisipan masih lagi ditahap mengorganisasikan nilai-nilai Islam dengan rakan-rakan. Kajian awalan ini juga mendapati semua partisipan tidak lagi berada dalam proses penerimaan atau memberi respon terhadap nilai-nilai Islam dengan rakan yang diajarkan oleh ustaz/ustazah di bilik-bilk darjah. Pada umumnya indek nilai tahap penghayatan terhadap nilai-nilai Islam dengan rakan adalah pada 3.28.

Jadual 3: Taburan Peratusan (%) Untuk Tahap Penerapan Nilai.












Jadual 4 menunjukkan kekerapan partisipan mengamalkan beberapa perlakuan yang pernah dipelajari semasa di sekolah rendah. Hampir 72% memberi salam bila sampai ke rumah kawan di di ikuti dengan 68% memohon izin dahulu sebelum masuk ke rumah kawan disetiap masa membuat lawatan ke rumah kawan. Ini melambangkan rasa hormat dan penerapan budaya Islam telah terpahat dijiwa mereka.. Namun demikian, masih lagi terdapat hampir 8% masih tidak pernah berjabat salam sebelum bermain bersama kawan.

Jadual 4: Kekerapan Amalan Nilai-Nilai Islam Antara Rakan.

















Rumusan:

Kajian ini merupakan satu kajian ex-post-facto, dan digunakan sebagai satu kajian rintis kepada kajian yang lebih lanjut dan mendalam tentang penerapan nilai-nilai Islam dikalangan para pelajar Sekolah Menengah di Malaysia. Kajian tinjauan awalan ini pada hakikatnya cuba membentuk satu instrument penerapan nilai-nilai Islam, antara rakan, untuk digunakan sebagai asas (format) dalam menentukan penerapan nilai-nilai keIslaman dikalangan pelajar-pelajar Islam di Malaysia. Instrumen ini merupakan satu sub-konstruk (Nilai antara rakan) dari satu konstruk terbesar kami (Penerapan Nilai Islam di kalangan Pelajar Sekolah Menengah). Instrumen ini tidak boleh digunakan lagi sebagai satu instrumen yang muktamad kerana ia hanya baru diperingkat permulaan kajian. Instrument ini perlu dimantapkan lagi melalui beberapa peringkat dalam ujiannya untuk mengatakan ianya satu instrumen yang benar-benar mantap boleh dikatan dapat mengukur nilai antara rakan. Namun demikian, satu rumusan boleh juga dibuat berdasarkan kajian rintis ini, bahawa nilai penarapan Islam dikalangan pelajar yang akan memasuki sekolah menengah boleh dianggap tinggi iaitu pada tahap 3.28 pada skala 4, ia itu pada tahap masih lagi dalam proses cuba mengorganisasi penerapan nilai Islam dengan rakan. Oleh itu, terserah kepada ustaz/ustazah di sekolah rendah untuk membuat sesuatu agar penerapan nilai pelajar antara rakan mereka menjadi lebih dapat dihayati dalam jiwa mereka berdasarkan nilai-nilai Islam yang cuba diserapkan ke dalam jiwa mereka melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah.

Rujukan

Ahmad Mohd.Salleh. (2004). Pendidikan Islam:Falsafah, Sejarah dan Kaedah Pengajaran Pembelajaran. Selangor. Oxford Fajar Sdn Bhd.

Azma Mahmood, Siti Rohayah Ariffin, Tajul Ariffin Nordin dan Khairul Anwar Mastor (2002). Pengukuran Penghayatan Pendidikan Islam Pelajar: Satu keperluan kea rah penilaian holistic mata pelajaran pendidikan islam. Prosiding Seminar Kebangsaan Profesion Perguruan 2002

Bahagian Pendidikan Islam PPK (1989). Falsafah, matlamat dan objektif pendidikan islam kurikulum bersepadu sekolah menengah. Kertas Kerja Kursus Pengurusan Kakitangan Sumber Maktab Perguruan & Pendidikan Islam dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Institusi Aminudin Baki. 20-26 Mac.

Muhammad Al-Ghazali. (2005). Ahklak Seorang Muslim. Kuala Lumpur. Victory Agencie.

Pusat Perkembangan Kurikulum (1987). Rancangan kurikulum bersepadu sekolah menengah. Kementerian Pendidikan Malaysia.


Rokiah Ahmad.(t.t). Adab Pergaulan Menurut Al-Quran dan Al-Sunnah. http://www.dakwah.info/. Capaian pada 8 Mac 2009.

Salleh Amat dan Mohd Mokhtar Hj.Tahar. (2007). Konsep dan Penekanan Aspek Modal Insan di Sekolah : Satu Refleksi Dalam Kalangan Pelajar Pengajian Tinggi. Prosiding Wacana Pendidikan Islam (Siri 6), 167-175. Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Agama Islam Sarawak dan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wan Mohd. Zahid Nordin (1992). Pendidikan Islam era 2020. Tasawwur dan strategi. Kertas Kerja Seminar Pendidikan Islam Era 2020: Tasawwur dan Strategi. Maktab Perguruan Islam. Bangi 9-10 Oktober.

Zahazan Mohamed (2006). Anakku Hebat Anakku Soleh. Kuala Lumpur. Telaga Biru Sdn Bhd.

Zainal Abidin Abdul Kadir (1988). Penghayatan islam dalam KBSM; kaedah dan pelaksanaan. Kertas Kerja Seminar Ke Arah Pemantapan Pendidikan Bersepadu. Maktab Perguruan Islam. Kuala Lumpur, 3 Ogos

1 comment:

  1. saya sedang buat assigment tentang perkembangan iman. saya jumpa artikel ni dan saya ingin mendapatkan instrumen yang digunakan dalam kajian tersebut sebagai bahan rujukan saya. harap dapat memberi kerjasama.

    ReplyDelete